Setelah tamat pemeriksaan lantai, kita beralih ke pemeriksaan dinding pula.
Keretakan
Terdapat banyak item dalam pemeriksaan dinding, paling popular adalah pemeriksaan keretakan. Terdapat banyak jenis keretakan dalam struktur, terutama struktur berlepa (plastered) atau struktur konkrit.
Sebelum itu, eloklah kalau kita mengenali jenis-jenis keretakan, BAgi anda saya permudahkan kepada 2 jenis kategori, Kategori Keretakan Biasa dan Kategori Keretakan Serius.
Kategori Keretakan Biasa
Kategori Keretakan Biasa ini adalah keretakan yang biasa terjadi akibat dari kecacatan pekerja sewaktu pembinaan yang kurang kemahiran atau kerja yang tidak teliti sewaktu kerja kemasan akhir, contohnya melepa (plastering).
Keretakan jenis hairline atau shrinkage ini biasa jatuh dalam kategori ini, dan biasanya keretakan ini terjadi di serata permukaan lepaan (plastering) atau konkrit. Biasanya bentuk keretakan ini adalah secara peretakhalusan (crazing) atau secara garis halus. Ia boleh terjadi samada di lantai lepa atau dinding lepa.
Keretakan garis halus ini atau crazing ini boleh terjadi akibat pengecutan (shrinkage), dan akibat dari ketidak telitian pekerja yang melakukan kerja-kerja melepa dalam pengawalan kadar sejatan air sewaktu proses bancuhan simen atau konkrit. Ia bukanlah bahaya, namun mencacatkan pemandangan mata jika terjadi terlalu banyak.
Ia boleh terjadi dimana-mana dinding yang lebar atau pertemuan antara dinding batu bata dan tiang konkrit. Dinding yang menggunakan batu bata merah atau batu bata tanah akan menghasilkan keretakan shrinkage yang lebih kerana batu bata tanah ini mempunyai kadar penyerapan air yang sangat tinggi.
Sekiranya garis keretakan itu terlalu kecil dan tidak begitu ketara dan tidak menganggu mata, adalah lebih baik dibiarkan sahaja, namun jika besar dan menganggu, bolehlha diadukan. Biasanya kontraktor akan memotong garisan retak dan akan melepa dengan simen kembali, namun untuk mengelakkan perkara berulang, adalah lebih baik disimen dengan non-shrink grout, sejeni simen khas untuk kerja-kerja seperti ini bagi mengelakkan retak berulang, selepas itu bolehlah dicat semula untuk mengelakkan kesan pembaikan itu nampak.
Kategori Keretakan Serius.
Terdapat juga keretakan yang agak serius yang tidak dapat ditutup dengan lepaan simen atau non-shrink grout. Bagaimana mengenali keretakan yang serius dan keretakan Biasa, senang sahaja, jika keretakan itu sangat besar dan terdapat perbezaan rupabentuk (contohnya bahagian yang retak itu mengelembung, atau dua struktur di kiri dan kanan garisan retak itu mempunyai lippage), ia boleh dikategorikan sebagai serius.
Terdapat pelbagai punca keretakan serius ini boleh terjadi, namun punca paling biasa keretakan bagi rumah kediaman bertanah (landed) ialah keenapan tanah (ground settlement) dimana tanah tidak dipadatkan dengan sempurna sewaktu proses pembinaan. Namun jika rumah anda adalah rumah bertingkat (apartment, kondo dsb) kecacatn seperti ini perlu dipandang serius oleh pemaju, dan pemilik haruslah melaporkan dengan segera kepada pemaju. Puncanya mungkin pelbagai yang perlukan kajian lebih lanjut.
Efflorescence atau Cat terkopek akibat kelembapan
Efflorescent (atau Peroi, saya tidak setuju dengan penggunaan perkataan terjemahan peroi yang diberikan, jadi saya akan menggunakan perkataan efflorescent terus), adalah satu keadaan dimana air yang mengandungi kandungan garam (masuk kedalam celahan jubin dan keluar serta meninggalkan kesan garam tersebut, ini diakibatkan oleh kerja-kerja waterproofing yang tidak sempurna sewaktu kerja pembinaan.
Biasanya lantai dan dinding bilik air (bahagian bawah) akan mempunyai lapisan penebat air (waterproofing) untuk mengelakkan air dari tembus melalui rekahan-rekahan kecil di dinding dan seterusnya ke ruangan bersebelahan. Lapisan penebat ini terdapat pelbagai jenis, ada yang berasaskan minyak ada yang berasaskan simen, dan ada yang berasaskan cecair. Tuan rumah mungkin tidak nampak lapisan ini kerana sudah ditutup dengan jubin atau cat. Jika ia diaplikasi dengan betul maka tiada kesan akan nampak, namun jika tidak kesan-kesan seperti efflorescent dan cat peroi di bilik-bilik bersebelahan bilik air akan kelihatan.
Cara membaikinya, terdapat kontraktor atau pemaju yang mengecat atau hanya mencuci kotoran yang terjadi, namun ini tidak akan menghilangkan masalah yang akan berulang, lapisan penebat air hendaklah dilapisi semula, sekiranya tidak ingin merosakkan jubin dan hanya cat peroi dan terkopek di bahagian bilik bersebelahan sahaja, bolehlah mencadangkan satu lagi lapisan penebat air disapu du bahagian luar bilik dan ditutup dengan jubin atau cat semula.
Bucu Tegak
Bucu di pertemuan antara dua dinding hendaklah tegak dari bawah sehinggalah ke siling rumah. Selain itu, ia perlulah mempunyai sedikit serongan (chamfer) untuk mengelakkan bucu yang tajam serta konkrit mudah terlerai dengan sedikit impak dari aktiviti isirumah nanti.
Penggunaan Kumai Bucu (Corner Bead) dapat membantu pekerja-pekerja lepaan dalam membuat bucu yang cantik serta sekata dari atas kebawah serta dapat mengelakkan bucu yang tajam dan dapat membantu dalam membentuk serongan (chamfer) yang cantik.
Kelompongan atau Geronggong
Dinding yang mempunyai hubin (seperti dapur dan bilik air) akan cenderung mempunyai kecacatan lompong ini, kaedah untuk pemeriksaannya telah diberitahu dalam artikel lantai.
Jubin yang tidak dipotong dengan cantik
Jubin dinding selalunya mempunyai potongan, terutama di kawasan laluan paip air, suis eletrik atau sebaliknya, Adalah lebih baik jika pemeriksa memeriksa keseluruhan kawasan temuan ini, sebagai contoh :-
Kawasan jubin sekeliling paip air masuk ke sinki atau tanki tandas.
Kawasan sekeliling paip kumbahan keluar samada sinki atau tandas (tetapi kebanyakan tandas-tanda di Malaysia mempunyai paip najis yang tertutup dengan mangkuk tandas)
Jubin di sekeliling paip pancuran air dan tombol putaran pancuran.
Jubin sekitar kunci-paip henti (stopcock).
Kawasan-kawasan tambahan lain seperti paip sekitar tab mandi dan lain-lain lagi.
Terdapat kontraktor yang tidak bertanggung jawab yang memotong jubin dan hanya menampal dengan simen lepaan atau pengisi dempul (putty filler), terutama di kawasan-kawasan yang tidak kelihatan seperti kawasan 1 dan 2 di atas.
Comments