top of page
Writer's pictureIRS

Jurutera Miskin

Updated: Jun 1



Isu ini bermula daripada satu artikel yang dikeluarkan oleh media arus perdana yang bertajuk 'Jurutera Miskin'. Antara lain artikel ini menyatakan bahawa kebanyakan jurutera di Malaysia dibayar gaji yang agak rendah dan julat gaji ini tidak berubah selama 20 tahun. Yang menariknya mengenai artikel ini bermula dari tajuknya yang boleh saya gelarkan sebagai 'red tops tabloid type', bermaksud tajuk yang pendek tetapi boleh menimbulkan sensasi tarikan mata.


Artikel ini seterusnya mendapat perhatian banyak pihak, antaranya adalah badan yang bertanggungjawab menyelia pendaftaran jurutera di Malaysia, Lembaga Jurutera Malaysia (LJM), yang menjalankan kajian gaji permulaan jurutera di Malaysia dengan serta merta.


Statistik


Saya suka untuk memetik satu artikel dari laman New Straits Times, bertarikh 23 November 2021, artikel tersebut ditulis oleh Wong Chee Fui, yang merupakan seorang jurutera professional, beliau menulis bahawa gaji untuk seorang jurutera bagi negara-negara berbeza adalah seperti berikut,


  1. USA - RM 30,282

  2. Australia - RM 28,194

  3. Japan - RM 30,770

  4. Singapura - RM 23,832


Apabila saya baca artikel ini saya membuat 3 anggaran :-

  • Anggaran penukaran wang pada saat artikel diltulis;

  • Anggaran gaji bulanan, kerana artikel dalam itu menulis gaji tahunan;

  • Tidak dinyatakan berapa tahun pengalaman, jadi saya anggar gaji penengah iaitu dalam 15 tahun perkhidmatan.

Namun artikel di atas tidak membandingkan gaji di Malaysia, jadi saya merujuk kepada artikel lain, antaranya , KLHive menganggarkan bahawa gaji bagi jurutera adalah dalam anggaran seperti berikut


  1. Pengalaman 0-3 tahun = RM2,100 - RM3,233

  2. Pengalaman 4-7 tahun = RM3,700 - RM5,633

  3. Pengalaman 6-12 tahun = RM6,500 - RM9,300

  4. Pengalaman 13 tahun ke atas = RM9,666 - RM14,566


Laman web ini menyenaraikan jurutera dalam pelbagai bidang, namun saya hanya memilih jurutera dalam bidang pembinaan atau persekitaran terbina sahaja.


Jabatan Statistik dalam laporan yang dikeluarkan bertajuk Situasi Gaji Permulaan Profesion Kejuruteraan di Malaysia, telah menyenaraikan gaji permulaan dari tahun 2020 sehingga 2022 dan jika kita ambil pada tahun berakhir 2022, gaji permulaan bagi jurutera adalah sebanyak RM1,436 bagi sektor swasta dan RM2,529 bagi sektor kerajaan (secara purata).


Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Personkelly, bertajuk Malaysia Salary Guide 2023/2024, laporan ini ada menyatakan bahawa permintaan kerja jurutera paling tinggi adalah dalam bidang Kejuruteraan awam, mekanikal, elektrikal dan kimia dan saya jangkakan permintaan tinggi ini adalah disebabkan sektor pembinaan. Laporan ini juga ada memberikan jadual anggaran gaji bagi pekerja dalam sektor pembinaan berdasarkan jawatan, dan diberikan dalam jadual di bawah.

Jawatan

Gaji Minima (RM)

Gaji Maksima (RM)

Project Director

20,000

35,000

Construction Manager

15,000

25,000

Design Manager

11,000

20,000

Project Manager

8,000

18,000

Site Manager

7,000

15,000

Resident Engineer

7,000

12,000

Mechanical Engineer

6,000

10,000

Electrical Engineer

6,000

10,000

Quantity Surveyor

4,000

6,500

Planner/Scheduler

3,500

5,500

Project Engineer

2,500

5,500

Contract Administrator

2,000

4,000

Inferens


Berdasarkan pemerhatian saya, kajian oleh Jabatan Statistik di atas yang menyatakan bahawa gaji permulaan bagi jurutera sektor swasta adalah di bawah RM2,000 adalah agak mengejutkan saya, kerana pada anggaran saya isu Jurutera miskin ini yang pada saya saya anggap hanya isu perspektif rupanya memang benar berdasarkan artikel Jabatan Statistik.


Mengikut rekod, gaji permulaan saya yang bekerja dalam sektor swasta dalam bidang pembinaan tahun 2004, juga dalam anggaran RM1500 dan sehingga sekarang jurutera graduat hanya mendapat bawah dari RM2,000, merupakan satu isu yang harus dipandang serius.


Persepsi saya disokong oleh Dr Nor Shahidah, pakar Kejuruteraan dan Mekanik Tanah UKM, dan Rahmat Muhad Anuar, dalam artikel bertajuk fresh graduate salaries stagnant for more than 10 years, yang menyatakan tiada kenaikan ketara selama 10 atau 20 tahun kebelakangan ini.


Walaubagaimanapun, persepsi ini disangkal oleh satu artikel yang dikeluarkan oleh Lembaga Jurutera Malaysia bertarikh 14 September 2022, dengan tajuk Isu Gaji Permulaan Jurutera Rendah : Hasil Kajian, Cadangan dan Hala Tuju , dalam kajian itu, menyatakan bahwa hanya 35% dari jurutera bergraduat ditawarkan gaji di bawah RM2,000 dan kenyataan bahawa gaji permulaan tidak meningkat selama 20 tahun adalah tidak tepat dengan purata kenaikan gaji tahunan adalah sebanyak 2.9% bagi jurutera bergraduat, walaubagaimanapun, laporan itu menyatakan bahawa kenaikan itu tidak selaras dengan kenaikan inflasi negara sebanyak 3.2% setahun.


Perbincangan


Saya bersetuju dengan salah satu punca permasalahan utama yang digariskan oleh LJM dalam laporannya menyatakan bahawa perkembangan kenaikan gaji adalah berdasarkan kepada penawaran dan permintaan kerjaya jurutera itu sendiri.


Setelah berada 20 tahun dalam bidang pembinaan, dan berada dalam keadaan pusingan kejatuhan ekonomi sebanyak 2 kali (2008 dan 2020), saya dapat simpulkan bahawa, dalam sektor pembinaan, perlaksanaan banyak projek-projek mega dan projek-projek perumahan dapat menaikkan permintaan kerjaya jurutera dalam bidang pembinaan dan seterusnya menaikkan 'harga' jurutera itu.


Apabila permintaan kerja jurutera naik maka, syarikat-syarikat terpaksa menawar dengan harga yang tinggi untuk mendapatkan jurutera, atau risiko jurutera akan melompat (job-hopping) akibat penawaran kerja yang tinggi apabila mendapat gaji atau imbuhan yang tinggi merisaukan pemilik syarikat seterusnya menawarkan gaji dan imbuhan yang tinggi agarkan jurutera tetap di syarikat mereka.


Kerajaan boleh menetapkan skala gaji minima kepada jurutera bergraduat berbanding membiarkan harga free market, dan saya menyokongnya, namun, persoalannya, ia bukanlah sebuah panacea kepada permasalahan jurutera miskin ini. Kerana, apabila syarikat-syarikat kejuruteraan kecil ingin mengambil pekerja, daripada memikirkan bahawa ingin mengambil 2 jurutera, mereka terpaksa mengurangkan kepada 1 sahaja, dan sekiranya ia berlaku pada skala yang bear, peluang pekerjaan untuk jurutera akan kembali merudum, sekkiranya ekonomi pembinaan tiada peningkatan.


Walaubagaimanapun, menurut Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong, yang dipetik dalam artikel Malaysian Engineers Wouldn't leave if they had 2/3 of Singaporean Salary, beliau menyatakan, kebanyakan dari jurutera Malaysia tidak akan berkerja di negara Singapura, jika mereka mendapat sekurang-kurangnya 2/3 dari apa yang mereka dapat di Singapura.


Sebagai rujukan dalam laman sesawang indeed.com, Purata gaji jurutera bergraduat di Singapura adalah SGD4,467 dan mengikut tukaran wang asing sewaktu artikel itu ditulis RM3.49 kepada SGD1, maka purata gaji jurutera di Singapura adalah RM15,589.83, maka gaji minima untuk kekal bekerja di Malaysia adalah sekurang-kurangnya RM10,393.22 bagi jurutera bergraduat, satu nilai yang pada saya sangat jauh dengan apa yang kita dapat sekarang, hampir 3-5 kali ganda dari apa yang kita dapat bagi jurutera bergraduat.


Penyelesaian


Siapalah saya untuk memberi penyelesaian tentang isu gaji rendah ini, namun untuk graduan saya nasihatkan cuba ambil dahulu apa sahaja peluang pekerjaan yang ada dalam bidang pembinaan, di samping sentiasa kemaskinikan diri dalam ilmu-ilmu dan teknologi terbaharu dalam bidang pembinaan.


Apa yang saya praktikkan dahulu, sebaik sahaja saya mendapat pekerjaan dalam sesebuah syarikat, saya akan kemaskini resume saya dengan menaikkan harga gaji saya sebanyak 10% sehingga 20% dan saya mula menghantar resume kepada syarikat-syarikat lain, dapat atau tidak itu perkara kedua kerana saya telah ada kerja, kalaupun dipanggil untuk sesi temuduga, saya akan pergi dan cuba tengok apa yang ditawarkan, sekiranya baik, saya akan pergi, dan sekiranya tidak, saya akan tinggal di syarikat yang saya tengah bekerja sekarang. Walaupun kaedah ini mungkin kurang dipersetujui oleh sebahagian dari anda, tapi untuk pekerja kontrak dalam bidang pembinaan, job hopping adalah perkara biasa, pertukaran dari satu projek ke projek yang lain adalah perkara biasa. Bak kata bekas bos saya, 'in construction, hire and fire is norm'.


Saya ada mendengar keluhan tentang dari jurutera-jurutera ini tentang ketidakacuhan kerajaan dalam bertindak untuk gaji mereka yang rendah, namun perlu diingat bahawa tidak apa yang boleh dilakukan sekiranya jurutera tersebut telah menandatangani surat tawaran kerja dan bersetuju dengan gaji dan imbuhan yang diberikan.


Namun, sekiranya mereka memilih untuk tidak menandatangani, impak lain pula terjadi dimana mungkin syarikat akan mula membuat alasan bahawa peluang pekerjaan banyak dibuka namun tiada siapa mahu datang bekerja dan mungkin mencadangkan kepada kerajaan untuk membuka tawaran kepada pekerja asing dalam bidang professional.


Di satu perspektif yang berlainan, dalam era globalisasi ini, jurutera yang baru bergraduate di Malaysia perlulah market-ready atau future-ready, dimana zaman sekarang kemahiran professional seperti machine learning, automation dan data analyst sangatlah diperlukan, di samping kemahiran-kemahiran teknikal yang dipelajari di universiti, bakat-bakat soft skill juga penting untuk pasaran dunia yang sangat dinamik ini, antaranya aplikasi pengetahuan, menyelesaikan masalah kompleks, penyiasatan and analisis masalah, kerja berpasukan, komunikasi, pengurusan projek (masa, kewangan dan kualiti), etika and tanggungjawab terhadap masyarakat, keselamatan dan kesihatan, undang-undang, budaya, persekitaran dan kelestarian alam, dan yang paling terbaharu ESG. Cuba jangan takungkan pekerjaan harian kita kepada kerja-kerja data entry sahaja, kerana data-entry akan diambil alih oleh AI satu masa nanti, tidak jauh pun masa itu.


Kerja-kerja data entry yang saya maksudkan bagi jurutera yang baru menceburi dunia pembinaan adalah, compile Request for Inspection, reporting Method of Statement, Material submission, NCR berapa yang dah close atau belum, prepare monthly report, tetapi lebih turun ke tapak dan cuba untuk problem solving, mesyuarat, kalaupun ada method statement atau NCR yang masih belum close, cuba fikirkan apa perlu dilakukan untuk close dengan memikirkan analisis dan keputusan kompleks, sekiranya tidak tahu, itulah masa untuk belajar. Kadang-kadang ada ilmu yang tidak diajar dalam dewan kuliah atau alam maya. Sekiranya perenggan ini agak teknikal kepada yang bukan berasal dari dunia pembinaan, minta maaf.


Saya pernah berjumpa dengan jurutera yang walaupun dia telah berpengalaman selama hampir 10 tahun dalam bidang pembinaan, dia hanya membuat kerja-kerja data entry tanpa membuat analisis dan problem solving berkaitan isu-isu dalam datanya itu, ini termasuklah membuat koordinasi mesyuarat dan lain-lain lagi, dan seperti dijangka, masa depannya dalam bidang pembinaan agak gelap, beliau hanya boleh job-hopping tanpa kenaikan gaji yang tinggi, job hopping adalah kerana stress kerja dan bukannya mendapat tawaran yang tinggi.


Jurutera bergraduat janganlah terlalu bergantung kepada CGPA semata-mata, walaupun ia adalah asas untuk mendapat kerja, sekiranya anda datang dengan CGPA yang rendah berbanding sahabat yang mempunyai CGPA yang tinggi sudah tentulah pembaca tahu siapa yang akan terpilih, walaupun memang CGPA bukan tanda aras, tetapi bagi jurutera bergraduat yang masih hijau dan tiada apa-apa untuk dipersembahkan lagi ,ia mungkin menjadi tanda aras utama bagi syarikat.


Maksud saya dalam tidak bergantung dengan CGPA, adalah anda perlulah membawa sekali kemahiran-kemahiran tertentu, terlibat secara aktif dalam aktiviti-aktiviti di universiti juga penting, kerana dalam dunia persaingan ini, syarikat akan memilih calon-calon yang mempunyai banyak keterlibatan dalam pelbagai bidang. Juga mengambil kursus-kursus teknikal yang berkaitan, kerana mengikut ISO 9002, kompetensi kerja itu datang dari 3 cabang, samada pendidikan formal (iaitu ijazah yang di tangan), pengalaman dan juga menghadiri aktiviti luaran yang berkaitan (contoh kursus-kursus dan seminar).


Kerajaan juga perlu memainkan peranan yang penting, seperti melaksanakan projek-projek mega infrastruktur berimpak tinggi untuk menjana ekonomi kembali, saya sedar apabila saya menyatakan bahawa perlu melaksanakan projek-projek mega, pastilah ramai akan skeptikal dengan persepsi projek-projek yang menelan billion ringgit akan menghabiskan wang rakyat. Pada saya permulaan projek memang betul ia menggunakan wang rakyat dengan besar, namun apabila ia siap kelak, ia akan menjana ekonomi setempat,


Namun timbul juga persoalan, apakah kita tidak dapat membangunkan jurutera kita tanpa mega projek dalam negara, jawapannya masih boleh, kerana jika kita lihat Singapura adalah negara kecil, maka tidak banyak mega projek boleh dilaksanakan di sana, tetapi kenapa mereka boleh menawarkan imbuhan yang lumayan, kerana sebahagian dari jurutera-jurutera pembinaan yang bekerja di sana bekerja di hub-hub dimana projek-projek infrastruktur mungkin dijalankan di negara lain, tetapi mempunyai pejabat serantau di Singapura dimana disana terdapat planners, designers, engineers, construction managers yang beroperasi secara remote dengan projek-projek pembinaan infrastruktur di negara lain.


Kita telah berjaya, pada hemat saya, dalam bidang Electric dan Electronic (E&E) satu masa dahulu (dan mungkin sekarang masih lagi) dimana banyak syarikat-syarikat E&E seperti Intel dan Infenion memilih Malaysia sebagai hub, maka dengan ini mereka telah membuka kilang-kilang dan banyak peluang pekerjaan dapat dijana, dengan secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran jurutera Malaysia.


Saya rasa ini juga dapat dilakukan, memandangkan China telah kehadapan dalam bidang ini dan mereka mempunyai kawalan terhadap 3M paling penting dalam dunia pembinaan, mereka menghasilkan bahan-bahan pembinaan (material), mereka menghasilkan masin-mesin pembinaan (machinery) dan mereka juga banyak tenaga kerja yang mahir (manpower) dalam bidang pembinaan, maka tidak salah jika kita menjemput mereka untuk menjadikan Malaysia sebagai hub pembinaan serantau di luar China.


Syarikat-syarikat seperti XCMG, Sany, LiuGong dan lain-lain boleh menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran peralatan pembinaan, saya sedar bahawa banyak lagi perkara teknikal yang perlu difikirkan dan bukan mudah bagi kerajaan untuk memikirkan polisi-polisi kemasukan FDI ini, namun 'something need to be done'.


Baru-baru ini, sebahagian dari ahli-ahli Association of Consulting Engineers Malaysia (ACEM), telah membuat 1 ikrar untuk menawarkan gaji minima sebanyak RM3,000 kepada jurutera bergraduat yang diambil bekerja di syarikat mereka, ikrar ini yang dinamakan Graduate's Starting Salary Pledge telah ditandatangani oleh hampir 50 ahli ACEM (sehingga tarikh artikel ini ditulis).


Ahli-ahli ACEM kebanyakannya adalah syarikat-syarikat konsultan kejuruteraan samada awam, mekanikal, elektrik, eletronik dan lain-lain lagi yang menawarkan servis konsultansi kepada projek-projek pembinaan (dalam skop perbincangan kita), atau dalam bahasa mudah, syarikat kejuruteraan yang menawarkan khidmat design (selain arkitek) dan seterusnya wakil pemilik projek dalam mengawalselia proses pembinaan yang dijalankan oleh kontraktor.


Kesimpulan


Memang tidak dapat dinafikan, terdapat isu mengenai jurutera miskin ini dan saya boleh katakan bahawa isu ini memang sedikit sebanyak membelenggu jurutera di Malaysia, terutama bagi yang baru bergraduate, namun, untuk mengeluh sahaja tidak mencukupi, mereka perlulah melengkapi diri sendiri dengan ilmu-ilmu baru disamping peranan kerajaan dalam membangunkan ekonomi pembinaan ini.



Pada pendapat anda, adakah jurutera di Malaysia masih mendapat imbuhan yang setimpal? (sekiranya anda berlainan pendapat, sila komen di bawah)

  • Ya

  • Tidak



222 views0 comments

Recent Posts

See All

Commentaires

Noté 0 étoile sur 5.
Pas encore de note

Ajouter une note
bottom of page